KUALA LUMPUR: Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) sedang giat mengedarkan benih asas bawang merah secara skala besar kepada petani yang dilantik untuk keperluan penanaman bawang
segar tempatan.

Pegawai Penyelidik Kanannya, Wan Rozita Wan Engah berkata, usahawan yang dipilih akan diberi bimbingan teknikal melalui kursus dan latihan serta dibekalkan dengan benih bawang secara percuma untuk musim pertama pengeluaran.

“Petani yang diberikan benih ini akan terus dibantu melalui pemantauan secara berkala yang kita lakukan untuk melihat progres penanaman bawang yang memerlukan 65 sehingga 75 hari semusim.


“Pada lawatan pertama, kita akan memantau tentang kaedah penanaman dan siraman yang betul sebelum kita datang kali kedua dalam beberapa minggu lagi untuk melihat prestasi pokok serta bagaimana ia dapat mengatasi serangan serangga dan penyakit.

“Selepas itu, kita akan membuat pemantauan akhir penanaman dan melihat proses penuaian untuk memastikan bawang yang dihasilkan mempunyai kualiti yang tinggi dan setara dengan bawang yang berada di pasaran,” katanya dalam satu kenyataan, pada Rabu.

Sebagai fasa permulaan pelaksanaan pengkomersialan pengeluaran bawang merah, Wan Rozita menambah, pada tahun ini MARDI mensasarkan pengagihan benih bawang kepada lima orang petani di seluruh negara bagi menghasilkan pengeluaran bawang sebanyak 30 metrik tan semusim bagi keluasan kawasan penanaman seluas 5 hektar.

“Aktiviti pengkomersialan akan ditingkatkan sebanyak 10 hektar setiap tahun berikutnya dengan pemantauan dan khidmat nasihat oleh pakar MARDI secara berterusan sehingga usahawan dan petani berjaya melaksanakan sepenuhnya," katanya lagi.